Firman Allah

Friday, July 31, 2009

Siapa Yang Kebal ?

Dalam masyarakat manapun samada masyarakat primitif dahulu kala ataupun masyarakat moden hari ini terdapat golongan yang bergelar " hero " dengan kekebalan mereka. mereka dihormati dan disegani kerana ilmu kebal yang menjadi keistimewaan dan kewibawaan mereka yang luar biasa. Masyarakat dahulu terlalu kagum dengan ilmu-ilmu kebatinan kerana bagi mereka satu keuntungan duniawi. Contohnya boleh menjadi ketua masyrakat , mempertahankan diri, menjaga harta benda dan diri mereka termasuk kaum keluarga.

Apabila kita melihat kepada sifat dan budaya orang melayu dulu , kini dan selamanya kita dapati amalan ilmu kebatinan dan kebal ini semakin bertambah dalam pelbagai sudut dan situasi yang berbeza. Bagi golongan yang belajar ilmu persilatan mereka menggunakan amalan dan wirid tertentu supaya mereka menjadi kebal daripada segala benda-benda tajam yang boleh melukakan mereka. Dengan amalan tertentu kadang-kadang boleh membawa kepada kufur dan syirik kepada Allah Ta'ala. Contohnya ada setengah amalan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan dalam masa yang sama mengadakan hubungan dengan makhluk halus jin yang tidak diketahui samada jin di kalangan yang beriman atau kafir. Sedangkan kalau kita kembali melihat dan mengkaji ajaran Islam dengan jujur dan dengan niat mencari kebenaran pasti kita dapati tidak ada amalan kekebalan dalam bentuk yang difahami oleh golongan ini.

Islam agama yang sempurna yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s. a.w lengkap menerangkan semua perkara dari sekecil-kecil perkara yang berkait dengan penyucian najis hinggalah pembentukan kerajaan dan hubungan antabangsa. Islam hanya mengiktiraf kekebalan " iman " sebagaimana kita dapati dalam sejarah kehidupan para nabi dan para rasul yang berjuang menyampaikan amanah Tuhan di muka bumi terpaksa menghadapi pelbagai mehnah dan ujian sehinggakan ada dikalangan mereka di bunuh , digergaji seperti nabi Yahya ,Isa ,Zakaria ,Muhammad s.a.w dan pelbagai bentuk penderitaan yang cukup hebat.

Walaupun penderitaan yang mereka alami sepanjang kehidupan mereka tidak melemahkan semangat mereka untuk terus berjuang dan menyebarkan ajatan Islam di muka bumi . Inilah yang dikatakan " kekebalan Iman " yang sepatutnya menjadi ikutan bagi umat islam dalam kehidupan mereka selaku hamba Allah yang mengaku beriman KepadaNya. Begitu juga para sahabat Nabi s.a.w sanggup berkorban mati syahid dalam peperangan dengan penuh pengharapan mereka mati dibawah mata pedang dan tubuh mereka mengalir darah yang menjadi saksi di hadapan Allah sebagai pembela agamaNya.

Seterusnya kita melihat golongan ulamak-ulamak yang ikhlas berjuang mempertahankan kebenaran seperti imam Syafei, Hanbali, Malik. Ibnu Taimiyah dan ramai lagi sepanjang zaman mereka telah menyatakan kebenaran penyaksian mereka sebagai hamba Allah . Mereka sanggup dipenjara, dipukul, dihina, dibuang daerah dan pelbagai jenis penderitaan demi melihat kebenaran tertegak di bumi Tuhan . Inilah golongan yang mempunyai " kekebalan iman " yang mantap dan kukuh sehinggakan Allah memuji mereka dalam Al-Quran Yang bermaksud : ingatlah sesunguhnya wali-waliku tidak ada ketakutan dan kesedihan bagi mereka dalam kehidupan dunia dan akhirat".

Inilah hakikat kekebalan yang harus kita fahami dan sedar kesilapan kita dalam memahami ajaran islam yang sebenarnya. Jangan kita terpengaruh dengan fahaman-fahaman agama lain yang boleh membawa amalan dan iktikad kita syirik kepada Allah Ta'ala sekaligus menghancurkan pegangan kita yang suci lagi murni.

Wednesday, July 29, 2009

Di Mana Ku Cari Kedamaian ?

Masyarakat moden hari ini terlalu dahagakan ketenangan dan kedamaian rohani. kekayaan, pangkat besar,pengaruh,kecantikan, keturunan yang ramai, isteri yang cantik , banglo yang indah semuanya tidak menjamin mendapat ketenangan dan kedamaian tanpa pengisian rohani dengan amalan-amalan keagaman dengan cara istiqamah dan penuh kesedaran beragama.
Apabila kita membuka mata dan minda kita hari ini sudah pasti kita melihat suasana masyarakat islam di negara kita khususnya terpengaruh dengan budaya kehidupan orang Barat. Mereka mencari kedamaian pada hari-hari tertentu sahaja , contohnya pada hari Ahad mereka berduyun-duyun datang ke gereja untuk melakukan upacara agamanya dan meminta keampunan melalui paderi-paderi yang menjadi wakil untuk memberi keampunan. Begitulah juga umat islam apabila mereka ditimpa musibah samada keluarga, harta ,diri, ataupun kerjaya mereka , kita dapati mereka cepat-cepat mencari surau /masjid dan bertemu ustaz untuk menyelesaikan masalah kehidupan mereka.

Tetapi sayangnya kesedaran mereka untuk mencari Tuhan ketika ditimpa musibah sahaja , sedangkan Allah Ta'ala memerintahkan kepada kita setiap masa mengingatiNya dan menunjukkan kepasrahan hati setulus-tulus dalam menghadapi takdirNya dalam kehidupan kita. Golongan ini akan mendapat kerugian di dunia dan akhirat. Allah Ta'ala berfirman Yang bermaksud : Ada setengah daripada manusia yang mengatakan beriman kepada Allah, apabila mereka di uji di jalan Allah mereka menjadikan fitnah manusia sebagai azab Allah dan apabila Islam mendapat kemenangan mereka mengatakan kami tetap bersama kamu."

Inilah realiti kehidupan manusia hari ini apabila mereka tersempit mereka meraung-raung meminta pertolongan kepada Allah tetapi apabila hilang malapetaka dan mendapat nikmat mereka menjadi penentang-penentang ayat-ayat Allah. Golongan ini tidak akan mendapat ketenangan dan kedamaian abadi dalam kehidupan mereka . Contoh yang jelas peristiwa bencana yang amat dahsyat di abad ini ialah " Bencana Tsunami " yang menjadi mimpi ngeri dan pengajaran yang amat besar untuk menjadi renungan dan iktibar dalam kehidupan kita.
Hari ini kebanyakan di kalangan kita tidak ingat lagi peristiwa ini dan ada juga yang ingat tapi sekadar ingatan yang tidak memberi apa-apa makna bagi kehidupan mereka. Sedangkan bencana ini adalah suatu peringatan untuk menyedarkan kita tentang kekuasaan allah Ta'ala yang mutlak mentadbir seluruh alam ini dan bila-bila masa sahaja Dia berkuasa menurunkan azab seksa yang pedih di atas dosa dan kesalahan hamba-hambanya.
Semasa bencana itu berlaku kita dapati berlaku perubahan yang mendadak kepada sikap dan tingkahlaku di kalangan kita , ada yang datang ke surau , masjid melakukan solat hajat , baca yasin dengan hati yang khusyuk merendah diri kepada yang Esa. Di situlah tempat ketengan yang sebenarnya dan sewajarnya kita menyedari hakikat ini supaya kehidupan kita sentiasa berada dalam keredaanNya.

Tuesday, July 28, 2009

Rawatan sihir

Sihir adalah amalan yang melibatkan pemujaan kepada syaitan dengan melakukan upacara tertentu untuk mendapat bantuan daripada syaitan untuk merosakkan manusia. Sihir sentiasa wujud di alam ini selagi ada manusia yang tidak beriman kepada kekusaan Allah. Mereka yang melakukan amalan ini biasanya untuk mendapatkan keuntungan duniawi dan kekayaan dengan jalan yang mudah walaupun terpaksa menghancurkan pegangan mereka yang suci. Ada juga ingin melepaskan dendam kesumat di hati kepada seseorang tanpa rasa gerun dan takut kepada hukuman Tuhan di atas perbuatannya yang terkutuk dan syirik kepada Allah Ta'ala. Islam mengajar kepada kita cara-cara untuk memelihara diri daripada kejahatan sihir dengan berpegang kepada ajaran Islam dengan sebenarnya. Individu muslim mesti sentiasa solat berjemaah, membaca Al-quran dan tadabur maknanya , bersedekah, dan sentiasa mengamalkan wirid-wirid yang diajar oleh Rasulullah S. a. w dalam kehidupan harian. Insya Allah dengan sentiasa melakukan amalan-amalan ini Allah akan memelihara kita daripada segala kejahatan manusia , jin, binatang buas dan segala malapetaka . Hari ini kebanyakan orang melayu khususnya terlalu bergantung kepada rawatan melalui bomoh. Sepatunya mereka sedar kebanyakan bomoh yang ada di negara kita banyak melakukan rawatan menggunakan bantuan jin, bacaan mentera dan makhluk halus yang terlalu licik menipu manusia. Oleh itu sepatunya kita sedar dan muhasabah diri kita masing-masing akan kesilapan kita dalam menghayati Ajaran Islam dalam seluruh kehidupan kita, tanpa Islam kita tidak akan selamat di dunia mahupun akhirat.

Monday, July 27, 2009

Salah Faham Konsep Ibadah

Hari ini ramai dikalangan umat islam salah faham tentang konsep ibadah menyebabkan mereka mengabaikan tugas dan peranan mereka untuk memakmurkan bumi Allah. kebanyakan mereka hanya memahami ibadat dalam rangka yang terlalu sempit yang berkait dengan solat, puasa, zakat, haji, baca yasin malam jumaat, baca Quran dan berzikir. sedangkan kalau kita kembali perhatikan kepada Al-Quran ,Sunnah Nabi pasti kita dapati seluruh kehidupan kita adalah ibadah dan dalam rangka pengabdian kepada Allah . Akibatnya umat islam dijajah oleh kuasa asing dan dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar di bumi umat islam sendiri. inilah realiti yang berlaku pada hari ini. Tidak ada cara lain untuk kembali kepada zaman kegemilangan islam melainkan kembali mempelajari islam dengan cara yang sebenarya sehingakan kita benar-benar memahami tugas dan tanggunjawab kita sebagai umat islam yang sebenarnya

Siapa wali Allah?

Wali Allah ialah orang yang beriman dan bertakwa dengan sepenuh hati. Dalam hal ini ramai orang yang salah faham dan keliru memahami makna kewalian yang sebenarnya sehinggakan ramai yang mengaku jadi wali. lebih-lebih lagi orang melayu suka percaya kepada benda khurafat dan tahyul lalu mereka meletakan tanda kewalian kepada seseorang berdasarkan perkara pelik yang berlaku padanya. sepeti boleh berjalan atas air, terbang, mengeluarkan air celah tangan dan sebagainya. Hakikatnya wali Allah adalah manusia yang istimewa kerana keimanan dan ketakwaan mereka sehinggakan mereka sanggup bersusah payah membela agama Allah di muka bumi. Mereka tidak boleh membuat perkara luar biasa dan aneh , yang ada keistimewaan ketara pada mereka ialah kekuatan kesabaran dalam ketaatan kepada Allah dan istiqamah dalam mengabdikan diri kepada Allah dalam seluruh kehidupannya.

Ramadan Membawa Rahmat

Ramadan bulan penurunan wahyu, bulan keampunan, dan bulan penghapusan dosa. Masa terlalu cepat berpusing bagaikan putaran roda akhirnya umat islam akan bertemu lagi dengan bulan yang paling mulia yang penuh dengan kelebihan dan keberkatan yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain.

Antara kelebihan bulan ramadan ialah, pahala dilipatkan dua kali ganda , bulan keampunan, bulan kerahmatan dan pelepasan daripada azab api neraka. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud " Di awal ramadan adalah rahmat, di pertengahan adalah keampunan dan di akhirnya dijauhkan dari azab neraka. Oleh itu sepatutnya seluruh umat islam mengambil peluang ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan dengan melaksanakan aktiviti-aktivit yang boleh meningkatkan kemuliannya di sisi Allah.

Kesitimewaan di bulan ini juga adanya satu malam yang ganjil iaitu " Lailatul Qadar " , sesiapa yang beribadat dengan penuh keinsafan akan mendapat ganjaran Seribu Bulan . Keistimewaan ini tidak ada pada umat-umat yang terdahulu samada umat Nabi soleh, umat Nabi Isa , umat nabi Musa dan nabi-nabi Allah yang lain. Ini merupakan satu bentuk kasih sayang Allah kepada umat Nabi Muhammad s.a.w , oleh itu kita sebagai umat yang terpilih sewajarya bersyukur dan sedar betapa agungnya rahmat dan kasih sayang Allah kepada kita semua.

Begitu juga di bulan Ramadan berlaku peristiwa yang terlalu agung dengan penurunan ayat-ayat Allah yang suci kepada Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi rahmat kepada seluruh alam. Hal ini di nyatakan melalui firmanNya dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud : Bulan Ramadan diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia, keterangan-keterangan yang jelas dan pembeza antara haq dengan batil. inilah hikmat penurunan Al-Quran untuk menjadi petunjuk kepada manusia supaya mereka kenal dan tahu mana jalan yang betul mana jalan yang salah.

Tetapi sayangnya umat islam hari ini jauh meninggalkan Al-Quran dalam kehidupan mereka, yang tinggal hanya amalan-amalan ritual berbentuk kerohanian dan ibadat asas dalam islam, seperti solat , berzikir, puasa, haji , membaca Yasin malam jumaat, membaca yasin di kubur dan seumpamanya. Sedangkan Islam adalah agama yang membawa rahmat seluruh alam yang menjamin keselamatan , kedamaian, ketenangan dan keharmonian kepada seluruh manusia. Hari ini kita diancam dari pelbagai sudut samada nyawa kita , harta, anak isteri, kaum kerabat, sahabat handai, jiran dan seluruhnya tidak selamat daipada ancaman pembunuhan , rompakan dan kecurian. Yang menyedihkan hati penulis apabila ditanya kepada segelintir di kalangan kita yang mengaku sebagai umat islam , macamana kaedah peyelesaiannya? mereka sentiasa menyalahkan ibu -bapa tidak mendidik dengan baik. Itulah jawapannya dimana-mana samada dalam forum,seminar, diskusi agama dan perbualan di kedai-kedai kopi.

Tidak ada cara ataupun teori untuk menyelesaikan semua permasalahan dan malapetaka di abad moden ini melainkan kembali melaksanakan semua ajaran islam dalam kehidupan kita. Islam mesti dihayati dalam semua aspek bermula dari ibadat , muamalat jual beli, munakahat pembentukan keluarga, pelaksananan hukum Islam dan pemerintahan secara Islam. Ini adalah janji Allah Ta'ala dalam surah Al-A'raf Ayat 96 yang bermaksud : jikalau sekiranya penduduk sebuah negeri/kampung beriman dan bertakwa kepada Allah dengan sebenarnya maka kami akan membuka pintu keberkatan di langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan ayat-ayat kami lalu kami menurungkan azab sengsara di sebabkan usaha-usaha mereka yang jahat.

Marilah kita sama kembali mempelajari al-Quran dan melaksanakan segala tuntutanya dalam kehidupan kita mudah-mudahan Allah Ta'ala memberi kita petunjuk ke jalan yang benar dan mendapat kerahmatan di bulan yang mulia ini.