Firman Allah

Saturday, August 8, 2009

Peranan Ulamak


Hari ini kita dilanda bencana dan malapetaka bertubi-tubi bagaikan dunia hampir menemui ajalnya. segala masalah dan bencana yang berlaku ini merupakan satu pengajaran dan peringatan kepada kita supaya kembali mengingatiNya dan tunduk kepada ajaranNya. Bencana ini semua adalah kecil jika kita bandingkan dengan bencana azab akhirat yang tiada kesudahan.

Di sini penulis ini ingin menyatakan bahawa ada satu bencana yang paling besar lagi yang menimpa umat islam dan dunia islam keseluruhanya. Bencana "penyelewengan Agama" atau dengan kata lain hilangnya amanah para ilmuan islam dalam menyampaikan islam kepada masyarakat. Para sarjana islam atau dengan gelaran lain dikatakan ulamak mempunyai peranan yang besar bagi menunaikan amanah yang ditinggalkan oleh para Nabi dan Rasul.

Umat islam berada dalam kejahilan dan kekeliruan dalam pelbagai persoalan dan masalah yang timbul, sepatutnya para ulamak samada yang bergelar tok guru, mufti, ustaz, imam memainkan peranannya dengan penuh tanggugjawab dan konsisten bagi mewujudkan suasana yang baik. Jika ulamak berlepas tangan dan mementingkan diri sendiri ataupun ingin menjaga keselesaan hidup ( pangkat ) maka hancurlah pegangan orang awam dan hancurnya cahaya Islam. Contohnya apabila ditanya kenapakah berlakunya keruntuhan akhlak remaja, penyakit selsema babi, perzinaan yang meluas dan pelbagai musibah di negara kita , maka kita dapati mereka mengatakan semua ini merupakan ujian dalam kehidupan kita . Sepatutnya mereka sedar dan bertanggungjawab menyatakan perkara yang sebenar walaupun pahit sehinggakan terpaksa berkorban segala kesenangan, kemewahan sebagaimana para ulamak silam meninggalkan semangat juang yang tinggi seperti imam syafei, ibnu taimiyah , imam hanbali dan ramai lagi ulamak di sepanjang zaman.

Dalam surah al-Baqarah dengan jelas Allah menceritakan akhlak ulamak ahli kitab yang menyelewengkan ajaran kitab Taurat semata-mata inginkan pangkat dan kemewahan dunia . firman Allah yang bermaksud " Orang-orang yang kami turunkan kitab kepada mereka ,mereka mengenali Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri ". Inilah perumpamaan yang jelas untuk kita fahami bahawa ilmu wahyu tentang kerasulan sudah diterangkan dalam kitab Taurat, tetapi ulamak -ulamak Yahudi sanggup menyembunyikan perkara yang sebenar demi menjaga status mereka sebagai ketua agama. pengajaran ayat ini termasuk kita juga sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. sekiranya bersikap demikian maka sudah pasti akan dilaknat oleh semua makhluk Tuhan.

Oleh itu saya begitu mengharapkan semua cendiakawan Islam ataupun para ulamak menyedari hakikat ini dan bertanggungjawab menunaikan amanah ini untuk melihat bangsa melayu khususnya yang masih jahil tentang islam mendapat nur hidayah melalui lisan-lisan para ulamak yang mempunyai kelebihan ilmu yang menjadi kebanggaan umat islam.Jangan sekali-kali kita menjadi sebab terhalangnya hidayah Allah kepada masyarakat semata-mata inginkan perhiasan dunia yang sementara dan menempah kutukan dan laknat Allah Ta'ala dan seluruh makhlukNya.

Monday, August 3, 2009

kewajipan Menuntut ilmu


Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan ke atas individu muslim. Kewajipan ini tidak boleh diabaikan dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah Ta'ala yang mengaku beriman kepadaNya. Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud " adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu ( jahil ) ? . Mengikut keterangan ayat ini menunjukkan kelebihan dan ketinggian darjat orang-orang yang mempelajari ilmu Allah Ta'ala , lebih-lebih lagi mereka menuntut ilmu untuk mencari keredaanNya.

Kewajipan ini kebanyakannya tidak dihiraukan oleh masyarakat kita pada hari ini. kebanyakan mereka hanya mengejar kemewahan kehidupan dunia dengan berusaha siang dan malam tanpa mengira menuntut ilmu adalah kewajipan seperti solat dan berpuasa juga.Bagi mereka yang penting adalah " Harta kekayaan " melebihi segala kepetingan yang lain. pada pandangan mereka apabila mendapat harta dan wang yang banyak dapatlah membuat amal kebajikan dan pertolongan kepada fakir miskin yang memerlukan bantuan.

Di sini perlu kita ingat dan sedar apabila kita memiliki harta dan kekayaan tanpa ilmu di dada amat mudah kita terjerat dengan hasutan hawa nafsu dan syaitan untuk membawa kita ke lembah kehinaan seperti yang berlaku dalam sejarah tamadun manusia yang di abadikan dalam Al-quran tentang kisah "Qarun". Allah Ta'ala menggambarkan kekayaan Qarun sehinggakan orang-orang yang kuat tidak mampu memikul anak-anak kunci gedungnya. Tetapi apakah kesudahanya ? Allah Ta'ala menghinanya dengan mengazab qarun berserta harta kekayaannya ke dalam bumi.

Masyarakat kita juga banyak salah faham dalam menuntut ilmu sehinggakan sudah menjadi " budaya orang melayu " . sebagai contoh yang jelas jikalau kita perhatikan dimana -mana kuliah di surau ataupun masjid tentang pengajian " feqah " hanya berkisar tentang tajuk " ibadah " sahaja sejak dahulu , kini dan selamanya. Tidak ada perubahan kearah yang lebih baik dan melihat kepada keperluan semasa dalam bab-bab yang sepatutnya dipelajari. sebab itulah tidak pelik apabila ada pihak yang ingin melaksanakan syariat Allah Ta'ala( Hukum Hudud ) ada yang menentang dengan sekeras-kerasnya walaupun mereka mempelajari kitab-kitab fekah. Dalam kitab Fekah semuanya ada bermula dengan tajuk ibadat kemudian mualamalat jual beli kemudian bicara hukum kekeluargaan nikah kahwin, seterusnya bab jenayah Hukum Hudud bagi orang yang melakukan kesalahan-kesalahan tertentu. Inilah kesilapan yang besar dalam mempelajari ilmu islam sehinggakan emas ada dalam poket tidak disedari.

Ada juga yang beranggapan bahawa kita tak sempurna lagi tentang ibadat solat , bersuci dan perkara yang berkait dengannya. jikalau itulah yang menjadi hujah untuk mempertahankan kefahaman mereka , saya ingin bertanya bilakah kita akan menjadi manusia yang betul-betul sempurna dalam melaksanakannya? bolehkah kita boleh menjamin kita boleh solat dengan sempurna baru kita boleh belajar bab-bab yang lain ? semua persolalan ini mesti dijawab dengan alasan yang logik dan bertepatan dengan kaedah islam jangan hanya mempeturutkan hawa nafsu yang jahil , maka bertambahlah kejahilan kita dalam menuntut ilmu islam. Adakah bila sudah ada semua kelengkapan rumah, kereta, pekerjaan baru boleh berkahwin ? . Oleh itu hendaklah kita sedar bahawa dalam kaedah menuntut ilmu Islam hendaklah secara menyeluruh jangan kita belajar dalam bab-bab tertentu sahaja yang mengakibatkan kita tidak memahami ajaran islam yang terkandung dalam Al-quran dan sunah Nabi s.a.w.

Sunday, August 2, 2009

Kekuatan Umat Islam


Melihat kepada umat islam hari ini benarlah bertepatan dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : " umat islam di akhir zaman bagaikan buih di lautan " walaupun ramai tetapi tidak mampu menghadapi serangan musuh utama Yahudi dan nasrani. Setiap masa dan detik Yahudi melancarkan serangan maut ke atas umat islam di Palestin.

Melihat kepada isu ini timbul pelbagai pandangan di kalangan umat islam sendiri. Perbezaan ini timbul kerena kefahaman umat islam tentang " Islam " terlalu sempit . Berkebetulan pula ada dikalangan umat islam yang terpengaruh dengan pemikiran barat dalam memahami islam yang sebenar.kebanyakan umat islam hari ini memahami islam dalam bentuk yang sempit, bagi mereka islam hanya berkait dengan amal ibadah solat,puasa, zakat , haji , dan berkahwin. inilah kefahaman majoriti umat islam hari ini. sedangkan kalau kita lihat kembali Firman Allah Ta'ala yang Bermaksud " Hari ini aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan aku sempurnakan nikmatKu keatas kamu dan Aku reda Islam sebagai agama kamu ".

Berdasarkan Firman Allah ini jelaslah bahawa "Islam " adalah agama yang lengkap mengatur seluruh perkara yang berkait dengan kehidupan manusia ".Bermula dari ibadat , munakahat, muamalat, jenayah, politik, pentadbiran negara dan hubungan antabangsa. Islam bukan sahaja mengatur hubungan sesama manusia ,bahkan hubungan dengan alam seluruhnya.Apabila umat Islam salah memahami Islam inilah hasilnya hari ini apa yang kita lihat di Palestin tidak ada sokongan dan bantuan daripada Negara-negara umat islam yang lain untuk menolong dan mempertahankan kesucian kota para nabi dan rasul yang telah memancarkan Nur Islam ke seluruh alam.

Oleh itu kita hendaklah sedar dan memahami isu ini dengan sebaiknya dan sedar rasa persaudaraan kita sesama muslim . Jangan kita terpengaruh dengan fahaman yang di bina atas perkauman yang sangat di kutuk oleh Islam.

Saturday, August 1, 2009

Bala Bencana Peringatan Dari Langit

Hari dan ketika saat ini kita di ancam oleh pelbagai bala bencana yang sentiasa mencari mangsanya. Di seluruh dunia hari ini manusia menghadapi ancaman penyakit " selsema Babi " atau dengan nama saitifiknya Influenza A (H1N1). Kehidupan kita terasa berada dalam ancaman walaupun berada di mana pun, samada di sekolah, pejabat, hospital, pasar raya dan di mana jua penyakit ini mengancam kehidupan kita semua.

Apabila kita bercakap isu ini sudah pasti timbul beberapa persoalan , antaranya dari mana punca penyakit ini timbul ? kedua macamana cara rawatan dan penyelesaiannya? ketiga pihak manakah yang sepatutnya yang bertanggungjawab dalam membendung dan mencegahnya supaya penyakit ini tidak merebak semakin parah ? . untuk menjawab semua persoalan ini mungkin timbul pelbagai pandangan berdasarkan personaliti seseorang yang berbeza. Cuma di sini saya cuba bawa perbincangan berdasarkan pandangan dari kaca mata Islam.

Semua bencana yang berlaku dialam ini terbahagi kepada dua keadaan samada ianya sebagai suatu ujian daripada Allah ataupun bala bencana daripadaNya sebagai suatu peringatan di atas segala dosa dan kemungkaran yang berlaku. Jikalau kita lihat persekitaran hari ini sudah pasti segala yang berlaku ini merupakan " Bala Bencana " untuk memberi kesedaran dan keinsafan di atas segala usaha mereka membuat kerosakan dan kemungkaran di muka bumi.

Islam mengajar umatnya makan makanan yang bersih dan halal sebagai suatu jaminan kesihatan tubuh badan dan sekaligus memberi kekuatan tubuh badan untuk melakukan amal ibadah dan segala amal kebajikan sebagai hamba Allah dan KhalifahNya di muka bumi. sebelum kedatangan islam agama yahudi pun menharamkan makan daging babi begitu juga agama -agama yang lain . Tetapi sikap dan perangai manusia yang dilarang oleh agama itulah yang menjadi kegemarannya dan menjadi seleranya , hasilnya inilah akibatnya di atas usaha manusia yang tidak mempedulikan suruhan agamanya.