Firman Allah

Monday, August 3, 2009

kewajipan Menuntut ilmu


Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan ke atas individu muslim. Kewajipan ini tidak boleh diabaikan dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah Ta'ala yang mengaku beriman kepadaNya. Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud " adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu ( jahil ) ? . Mengikut keterangan ayat ini menunjukkan kelebihan dan ketinggian darjat orang-orang yang mempelajari ilmu Allah Ta'ala , lebih-lebih lagi mereka menuntut ilmu untuk mencari keredaanNya.

Kewajipan ini kebanyakannya tidak dihiraukan oleh masyarakat kita pada hari ini. kebanyakan mereka hanya mengejar kemewahan kehidupan dunia dengan berusaha siang dan malam tanpa mengira menuntut ilmu adalah kewajipan seperti solat dan berpuasa juga.Bagi mereka yang penting adalah " Harta kekayaan " melebihi segala kepetingan yang lain. pada pandangan mereka apabila mendapat harta dan wang yang banyak dapatlah membuat amal kebajikan dan pertolongan kepada fakir miskin yang memerlukan bantuan.

Di sini perlu kita ingat dan sedar apabila kita memiliki harta dan kekayaan tanpa ilmu di dada amat mudah kita terjerat dengan hasutan hawa nafsu dan syaitan untuk membawa kita ke lembah kehinaan seperti yang berlaku dalam sejarah tamadun manusia yang di abadikan dalam Al-quran tentang kisah "Qarun". Allah Ta'ala menggambarkan kekayaan Qarun sehinggakan orang-orang yang kuat tidak mampu memikul anak-anak kunci gedungnya. Tetapi apakah kesudahanya ? Allah Ta'ala menghinanya dengan mengazab qarun berserta harta kekayaannya ke dalam bumi.

Masyarakat kita juga banyak salah faham dalam menuntut ilmu sehinggakan sudah menjadi " budaya orang melayu " . sebagai contoh yang jelas jikalau kita perhatikan dimana -mana kuliah di surau ataupun masjid tentang pengajian " feqah " hanya berkisar tentang tajuk " ibadah " sahaja sejak dahulu , kini dan selamanya. Tidak ada perubahan kearah yang lebih baik dan melihat kepada keperluan semasa dalam bab-bab yang sepatutnya dipelajari. sebab itulah tidak pelik apabila ada pihak yang ingin melaksanakan syariat Allah Ta'ala( Hukum Hudud ) ada yang menentang dengan sekeras-kerasnya walaupun mereka mempelajari kitab-kitab fekah. Dalam kitab Fekah semuanya ada bermula dengan tajuk ibadat kemudian mualamalat jual beli kemudian bicara hukum kekeluargaan nikah kahwin, seterusnya bab jenayah Hukum Hudud bagi orang yang melakukan kesalahan-kesalahan tertentu. Inilah kesilapan yang besar dalam mempelajari ilmu islam sehinggakan emas ada dalam poket tidak disedari.

Ada juga yang beranggapan bahawa kita tak sempurna lagi tentang ibadat solat , bersuci dan perkara yang berkait dengannya. jikalau itulah yang menjadi hujah untuk mempertahankan kefahaman mereka , saya ingin bertanya bilakah kita akan menjadi manusia yang betul-betul sempurna dalam melaksanakannya? bolehkah kita boleh menjamin kita boleh solat dengan sempurna baru kita boleh belajar bab-bab yang lain ? semua persolalan ini mesti dijawab dengan alasan yang logik dan bertepatan dengan kaedah islam jangan hanya mempeturutkan hawa nafsu yang jahil , maka bertambahlah kejahilan kita dalam menuntut ilmu islam. Adakah bila sudah ada semua kelengkapan rumah, kereta, pekerjaan baru boleh berkahwin ? . Oleh itu hendaklah kita sedar bahawa dalam kaedah menuntut ilmu Islam hendaklah secara menyeluruh jangan kita belajar dalam bab-bab tertentu sahaja yang mengakibatkan kita tidak memahami ajaran islam yang terkandung dalam Al-quran dan sunah Nabi s.a.w.

No comments:

Post a Comment