Firman Allah

Saturday, August 8, 2009

Peranan Ulamak


Hari ini kita dilanda bencana dan malapetaka bertubi-tubi bagaikan dunia hampir menemui ajalnya. segala masalah dan bencana yang berlaku ini merupakan satu pengajaran dan peringatan kepada kita supaya kembali mengingatiNya dan tunduk kepada ajaranNya. Bencana ini semua adalah kecil jika kita bandingkan dengan bencana azab akhirat yang tiada kesudahan.

Di sini penulis ini ingin menyatakan bahawa ada satu bencana yang paling besar lagi yang menimpa umat islam dan dunia islam keseluruhanya. Bencana "penyelewengan Agama" atau dengan kata lain hilangnya amanah para ilmuan islam dalam menyampaikan islam kepada masyarakat. Para sarjana islam atau dengan gelaran lain dikatakan ulamak mempunyai peranan yang besar bagi menunaikan amanah yang ditinggalkan oleh para Nabi dan Rasul.

Umat islam berada dalam kejahilan dan kekeliruan dalam pelbagai persoalan dan masalah yang timbul, sepatutnya para ulamak samada yang bergelar tok guru, mufti, ustaz, imam memainkan peranannya dengan penuh tanggugjawab dan konsisten bagi mewujudkan suasana yang baik. Jika ulamak berlepas tangan dan mementingkan diri sendiri ataupun ingin menjaga keselesaan hidup ( pangkat ) maka hancurlah pegangan orang awam dan hancurnya cahaya Islam. Contohnya apabila ditanya kenapakah berlakunya keruntuhan akhlak remaja, penyakit selsema babi, perzinaan yang meluas dan pelbagai musibah di negara kita , maka kita dapati mereka mengatakan semua ini merupakan ujian dalam kehidupan kita . Sepatutnya mereka sedar dan bertanggungjawab menyatakan perkara yang sebenar walaupun pahit sehinggakan terpaksa berkorban segala kesenangan, kemewahan sebagaimana para ulamak silam meninggalkan semangat juang yang tinggi seperti imam syafei, ibnu taimiyah , imam hanbali dan ramai lagi ulamak di sepanjang zaman.

Dalam surah al-Baqarah dengan jelas Allah menceritakan akhlak ulamak ahli kitab yang menyelewengkan ajaran kitab Taurat semata-mata inginkan pangkat dan kemewahan dunia . firman Allah yang bermaksud " Orang-orang yang kami turunkan kitab kepada mereka ,mereka mengenali Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri ". Inilah perumpamaan yang jelas untuk kita fahami bahawa ilmu wahyu tentang kerasulan sudah diterangkan dalam kitab Taurat, tetapi ulamak -ulamak Yahudi sanggup menyembunyikan perkara yang sebenar demi menjaga status mereka sebagai ketua agama. pengajaran ayat ini termasuk kita juga sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. sekiranya bersikap demikian maka sudah pasti akan dilaknat oleh semua makhluk Tuhan.

Oleh itu saya begitu mengharapkan semua cendiakawan Islam ataupun para ulamak menyedari hakikat ini dan bertanggungjawab menunaikan amanah ini untuk melihat bangsa melayu khususnya yang masih jahil tentang islam mendapat nur hidayah melalui lisan-lisan para ulamak yang mempunyai kelebihan ilmu yang menjadi kebanggaan umat islam.Jangan sekali-kali kita menjadi sebab terhalangnya hidayah Allah kepada masyarakat semata-mata inginkan perhiasan dunia yang sementara dan menempah kutukan dan laknat Allah Ta'ala dan seluruh makhlukNya.

No comments:

Post a Comment